Tuesday, March 20, 2012

realiti or fantasiiiiiiiiiii


Kita banyak berharapan. Dan berangan. Dan berimpian. Ketika kecil, kita berangan-angan. Ada yang berangan menjadi angkasawan. Gadis-gadis berhingus, berangan mahu berkahwin dengan putera raja. Orang baru memulakan perniagaan, berangan-angan dirinya menjadi bos didalam bilik berhawa dingin.

Orang bercinta, berangan-angan sudah pasti. Forever ever after, kononnya.

Terlalu sedikit, yang membezakan antara harapan, angan-angan dan impian. Bila disebut angan-angan, seolahnya terlalu pessimistik. Harapan, terlalu optimistik. Cita-cita dan Impian, terlalu jauh, sesuai untuk jangkamasa panjang agaknya. Hakikatnya semuanya lahir dari sebuah keinginan, kemahuan mendapatkan sesuatu, atau seseorang.

Lantas manusia merangka pelbagai perancangan. Yang angan-angan, mungkin sekadar kekal menjadi angan-angan. Semakin berusia ke arah kematangan, keinginan yang tak masuk akal semakin dilupakan.

Berpijak di bumi yang nyata, tentunya.
Inilah yang dinamakan realiti, agaknya. Berpijak di bumi yang nyata.

Apa yang pasti, Allah tak bagi kepada manusia apa yang diangan-angankan. Allah tak bagi kepada manusia, apa yang diimpikan. Allah tak bagi kepada manusia, apa yang manusia harapkan.

Allah bagi kat manusia, realiti.

Tetapi Dia tak larang kita mempunyai angan-angan. Dia tak larang kita mempunyai impian dan harapan. Malah, Dia suruh kita berusaha, ke arah apa yang kita inginkan tersebut.

Namun tentulah, Dia akan bagi kepada kita realiti. Hiduplah dalam impian, angan-angan, walau sefantasi mana sekalipun, Allah akan bagi kita realiti.
Realiti kadang-kadang bukan mudah untuk kita telan. Kadang-kadang, 100% tak sama dengan apa yang kita impikan. I learn that the hard way.

Buatlah, berusahalah, berjuanglah, berkorbanlah. Tetap, apabila datang ketentuan Allah, tetap tak dapat menyanggah realiti yang Dia beri. Apabila lembaran telah kering, dan pena-pena diangkat, maka terlaksanalah suratan yang ditentukan. Suratan itulah realiti.

Realiti.

Kadang-kadang kita tonton didalam televisyen. Rancangan drama, dan filem-filem. Kalaulah realiti ini semudah itu. Kita hayati perkembangan jalan ceritanya. Kita membayangkan kitalah wataknya. Dan semuanya berakhir dalam tempoh 2 jam cerita. Atau 20 episod panjangnya.

Tetapi itukah realiti? Kalaulah realiti semudah itu? Kenapa realiti tak semudah itu?

Kadang-kadang kita belajar macam-macam. 1+1= 2. Itukah realiti?

Dalam kehidupan, kita banyak cuba merealitikan teori yang diketahui. Teorinya, orang kata, tiada cinta sebelum kahwin. Haha! Kononnya, mahu ikut rules. Taknak kapel-kapel ni, taknak maksiat-maksiat ni. Teorinya, kalau nak elakkan maksiat, Allah mesti akan tolong kita. Teorinya, ikut syariat itu mudah.

Idealistik. Idealistik, adalah lawan kepada realistik. Idealistik, adalah musuh kepada realiti. Kerana realiti pasti menghancurkan idea. Realiti, pasti menghancurkan teori. Ikutlah teori sekuat mana sekalipun, tatkala dihempas ombak realiti, pasti nyah segalanya.

Kita hidup didalam dunia yang realiti. Bukannya dalam sebuah utopia yang idealis, kerana utopia sedemikin hanya dijanjikan kepada kita di akhirat kelak, tatkala setiap yang dibayangkan mahupun yang tak terbayang menjadi realiti di sana. Menggenggam idea, sesetengah mengibaratkan seperti memegang bara api yang panas. Tak salah mahu terus menggenggam, namun kadang-kadang harus tahu bila mahu melepaskan.

Agar tangan tidak melecur dan hangus terbakar.

Angan-angan, impian dan harapan, harus sentiasa ada sebuah titik.. Titik dimana kita tahu, kita harus sedia melepaskannya kerana tidak lagi selari dengan realiti.

Keberanian dan nekad mengejar apa yang diimpikan, dan diharapkan, adalah biasa. Cliche. Tetapi keberanian untuk melepaskan apa yang diimpikan selama ini, keberanian untuk menerima realiti dan berhadapan dengannya.

Oang memandang mereka sebagai kalah. Tewas. Kandas di tengah jalan.

Tetapi merekalah underdog, the unsung heroes. Mereka mengekalkan kestabilan dan keseimbangan dunia realiti. Kerana merekalah, realiti itu wujud.

Merekalah pekerja buruh yang gagal mencapai impian menjadi bos besar. Merekalah kerani cabuk yang berpuluh tahun kerja tak naik pangkat. Merekalah ibu tunggal yang menjaga tiga orang anak kerana ditinggalkan suami zalim. Mereka ada diantara kau, aku dan dia.

Mereka adalah manusia yang berani berhadapan dengan realiti.

Kau tak akan pernah mengecap realiti, selagimana engkau tidak merasa penderitaan mereka. Mereka juga, suatu masa dahulu, seperti engkau. Bercita-cita tinggi. Mereka juga, berharap mendapat cinta forever ever after. Mereka juga, berharap menjalinkan cinta fillah dibawah lembayung Ilahi. Mereka juga seperti engkau.

Tetapi Allah menetapkan realiti mereka berbeza. Jangan kau pandang rendah akan mereka.

Aku?

Entahlah. Tak tahu lah apa realiti aku. Masihkah aku terus menggenggam bara ini? Atau masanya sudah tiba, untuk aku melepaskannya?

Dahulunya impian. Harapan. Cukup optimis. Kini? Angan-angan. Aku tak pasti sama ada akan menjadi kenyataan. Malah aku sudah anggap, ianya dah terkubur.

Aku cuma nak buat benda yang betul..


No comments:

Post a Comment